Thursday, January 17, 2013

Kelas Psikologi Islami 2011


Alhamdulillah tanggal 11 Disember 2011 kelas Psikologi Islami telah selesai ditamatkan. Untuk permulaan, kelas bertajuk Psikologi Islami telah menjadi program sulung grup ini bermula pada 23 September sehingga ditamatkan pada 11 Disember 2011. Bekerjasama dengan Outreach ABIM, kelas dapat diadakan di bilik kuliah Masjid Negara pada Jumaat, 9 malam setiap minggu melibatkan pelajar universiti (kebanyakannya dari UIAM), rakan-rakan sularelawan masjid dari Outreach ABIM yang sudah bekerja, yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Semua pelajar dibimbing oleh Encik Roslan Jelani sepanjang kelas ini diadakan.


Sedikit mengenai kelas Psikologi Islami

Menyoroti soal hakikat diri dan sifat insan, persoalan yang jarang sekali diberi perhatian dalam arena perbincangan masyarakat. Padahal segala aktiviti, pemikiran, tingkah laku individu yang akhirnya mencorakkan warna dalam masyarakat itu, semuanya bermula dari seseorang individu itu, kesan yang dapat dilihat hasil daripada bagaimana dia berinteraksi dan mengharmonikan dua elemen asasi dalam dirinya, diri seseorang insan, iaitu ruh dan jasad. Hakikat semulajadi manusia yang terdiri daripada dua elemen ini terkandung dalam penggunaan istilah al-insan dan al-bashar. Di mana insan merujuk kepada unsur-unsur rohani (spiritual atau non-material), yang bersifat universal, manakala bashar merujuk kepada unsur-unsur jasmani (material atau physical). Apabila manusia itu dilahirkan semula di dunia, ia seolah-olah beradaptasi dengan suatu alam yang lain dan membawa suatu pengalaman baru. 

Sesetengah ilmuwan mengatakan insan itu lupa kerana setelah dilahirkan kembali sebagai manusia di dunia fokusnya sudah bermacam-macam, sibuk dalam menguruskan kehidupannya di dunia, sehingga amat sedikit golongan yang betul-betul mengingati dan menghayati, serta menjadikan kehidupan di dunia ini sebagai jalan untuk menunaikan amanah serta janji yang telah dibuat ketika di alam ruh. Dalam al-Quran ada disebut berulang kali di pelbagai tempat perkataan al-Khobis (buruk) dan al-Toyyib (baik). Dalam menjalani kehidupan seharian setiap insan tidak terlepas dari membuat pilihan, dan tiap-tiap individu itu sewajibnya bagi dirinya hanya memilih pilihan yang baik (ikhtiyar-berasal dari kata khoir). 



                 Zaman kini manusia sudah tidak lagi kenal kepada fitrah. Nilai-nilai yang buruk sudah dianggap indah dan mempesonakan pada mata kebanyakan, dipandang hebat pula bagi yang melakukannya. Faham seperti hedonisme mendominasi masyarakat, sehingga seorang ahli sosiologi moden Barat dengan sinis mengumpamakan keadaan masyarakat kini umpama ‘schooled barbaric’. Sabda Nabi kita dalam sebuah hadis apabila Baginda menyebut yang agama Islam ini bermula sebagai dagang (asing) dan akan berakhir sebagai dagang juga betul-betul dapat kita buktikan dengan mata kepala kita sendiri kini. Amalan dan nilai luhur yang diajar oleh agama membawa manusia kembali kepada fitrahnya, tapi kini golongan yang menyeru kepada fitrah itu pula dianggap kuno dan tidak menepati citarasa moden.



                Oleh yang demikian, kelas Pengenalan kepada Psikologi  Islami ini yang merupakan projek ulung yang dianjurkan oleh kumpulan My Sisters Axis, bukanlah sekadar kelas-kelas biasa. Dengan niat yang ikhlas dan komitmen akliah dan spiritual yang tinggi semua peserta insya Allah diharapkan beroleh  dan mencapai matlamat akhir dari kelas ini, iaitu seperti mana yang telah disebut oleh En. Roslan – to return ourselves to our own self, supaya kita dapat mencari dan mengenali diri kita semula seperti mana hakikat dan keadannya yang sebenar. Dengan kata lain memperoleh kedudukan jiwa yang betul. Fenomena sekarang  manusia hidup dalam budaya yang memuja hawa nafsu, kebanyakan dari kita beranggapan penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengimplementasikan undang-undang syariah dan hukum hudud. 


                   Namun, penting juga untuk diketahui bahawa Akhlaq is just not about the law, justeru kita perlu tahu dan kenal diri kita yang sebenar, elemen-elemen yang wujud, bagaimana seluruh fakulti yang ada dalam diri manusia itu berfungsi, dan bagaimana pengetahuan tentang itu dapat membimbing dan mengawal niat, cara berfikir, seterusnya perilaku diti seseorang.

No comments:

Post a Comment